'Orang lama' perkuat NGC Medical
Porte
Utusan Online,
1/2/2008
KUALA LUMPUR - Pendatang baru Le
Tour de Langkawi (LTdL) NGC Medical-OTC Industria Porte bersedia
memberi impak besar dalam penampilan sulung pasukan itu pada edisi
ke-13 perlumbaan berprestij itu 9-17 Februari ini.
Pasukan profesional benua Eropah
itu yang didaftarkan di Switzerland diperkuatkan oleh lima pelumba
Itali, diketuai Enrico Rossi yang memiliki pengalaman beraksi
pada LTdL 2007.
Pada ketika Rossi, 25, akan mengetuai
pasukannya di laluan landai, Massimiliano Maisto pula dijangka
berada dalam kelompok depan pada peringkat pendakian ke Fraser
Hill.
Rossi yang berkayuh buat pasukan
OTC Doors-Lauretana tahun lalu pernah memenangi peringkat kelima
Tour of Slovenia, perlumbaan berstatus 2.1 di samping menduduki
tempat ketiga di peringkat kesembilan Tour of Qinghai Lake di
China, 22 Julai lalu.
Maisto pula menduduki tempat ketujuh
keseluruhan dalam Tour of Slovenia dan tempat kesembilan keseluruhan
pada perlumbaan Jelajah Rheinland-Pfalz Rundfahrt (2.1), Mei lalu.
Tiga lagi pelumba Itali yang memperkuatkan
pasukan adalah Marco Catteneo, Marco Corsini dan Diego Nosotti
manakala pelumba tunggal dari Switzerland yang menyarung jersi
NGC Medical ialah Stefan Trafelet.
''Pada pendapat kami perlumbaan
sedikit dipermudahkan dengan tiadanya peringkat pendakian ke Genting
Highlands, begitu pun kesukaran hadir daripada aspek lain kerana
banyak pasukan ProTour, profesional benua Eropah dan profesional
benua lain yang mengambil bahagian.
''Pasukan ProTour (Credit Agricole,
Ag2R dan Bouygues Telekom) pasti menjadi pilihan utama, namun
kami berazam melakukan yang terbaik dalam kemunculan pertama di
LTdL,'' kata NGC Medical dalam satu kenyataan semalam.
Selain bergantung kepada Rossi
dan Maisto, Cattaneo, 25, juga boleh diharapkan dengan memiliki
pengalaman luas beraksi dalam perlumbaan jelajah bersama pasukan
Tenax
Nosotti, 27, pula merupakan bekas
pelumba Selle Italia pada 2006, manakala Trafelet, 24, pernah
beraksi dalam skuad bawah-23 tahun Switzerland dan pasukan VC
Mendrisio.
<<
BACK
|