NEWS FLASH
    THE RACE
    NEWS
News Clippings
Press Releases
    RESULTS
    CONTACTS
    HOME
Ministry Of Youth and Sports


Sanctioned by:
Union Cyclisté Internationale


Asian Cycling Confederation

Malaysian National Cycling Federation

 
News Clippings


Anuar gah cipta dua sejarah
Berita Harian, 12/2/2008

Raih Jersi Hijau Raja Pecut dan tempat kedua perlumbaan Peringkat 3

KEMARAU 13 tahun berjaya ditamatkan oleh pelumba muda, Anuar Manan yang tampil mencipta dua sejarah tersendiri buat negara apabila meraih Jersi Hijau Raja Pecut dan tempat kedua perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL'08), Peringkat 3 dari Sitiawan ke Banting, semalam.

Kejayaan itu tambah manis apabila semua lima pelumba yang menamatkan kayuhan sejauh 209.4 kilometer itu terdiri daripada pelumba Asia termasuk Mohd Fauzan Ahmad Lutfi yang menduduki tangga kelima manakala pelumba Seoul Cycling, Lee Wong Jae (gambar) muncul juara.

Sejak Peringkat 1 dari Alor Star ke Kepala Batas, saingan edisi ke-13 ini tampak di dominasi pelumba Eropah walaupun kelmarin dua pelumba Jepun hampir memecahkan dominasi itu sebelum ia akhirnya terlaksana, semalam.

Anuar dan kelompok empat pelumba itu mula memasang strategi pada 70km awal berhampiran Sungai Besar dan diteruskan sehingga penamat dan mengumpul 29 mata pecutan di tiga zon bagi membolehkan dia mengumpul keseluruhan 31 mata.

“Ada rasa gembira tetapi ada juga yang tidak puas hati. Sebenarnya laluan ini beri kelebihan kepada pakar pecut dan pada 1km terakhir ada pemecahan lagi di kalangan kami berlima dan saya hanya dapat nombor dua,” kata Anuar yang merampas jersi berkenaan daripada Gustavo Cesar yang memakainya selepas Peringkat 2, kelmarin.

Anuar dari pasukan benua pertama negara, LeTua sudah memasang impian sejak bermula LTdL lagi untuk meraih kemenangan peringkat, sesuatu yang tidak pernah berjaya dilakukan pelumba negara sejak 13 tahun lalu.

Dan dia hampir melakukannya semalam, cuma ketinggalan 5 saat di belakang Lee yang mencatat masa empat jam, 37 minit dan 43 saat dalam kayuhan pantas dan bertenaga ke garisan penamat.

“Hari ini (semalam) saya ada peluang untuk dapatkan kemenangan peringkat tetapi ia terlepas begitu saja. Perlumbaan tadi jaraknya jauh dan saya dapat membaca strategi pelumba lain dan banyak berlaku serangan.

“Pada 70km awal banyak berlaku keadaan kelam kabut mungkin ramai pelumba penat dan di situ kami berjaya membuat pemecahan.

“Kemenangan jersi pecut ini bagaimanapun amat menggembirakan saya kerana ini adalah pertama kali anak Malaysia melakukannya,” katanya.

Untuk rekod, Suhamini Keton pernah menyarung Jersi Polka Dot Merah (Raja Bukit) pada satu peringkat pada 1999 manakala Tseng Seong Hoong pula bergelar pelumba terbaik Asia untuk satu peringkat pada 2003.

Kejayaan menduduki tempat kedua peringkat pula adalah yang pertama buat pelumba negara sejak 1996.

Bagi perlumbaan, hari ini dari Port Dickson ke Batu Pahat, Anuar bertekad untuk mempertahankan kedudukan Jersi Hijau dengan memungut seberapa banyak mata di tiga Zon Pecutan walaupun sedar ia adalah sesuatu yang sukar.

<< BACK



For any media enquiries, kindly email your personal details to media@ltdl.com.my


 

© 2007 - 2008. All contents copyright © Kementerian Belia Dan Sukan. Website Developed by Creative Appetite