Hondo ungguli saingan keempat
Berita Harian,
13/2/2008
PERINGKAT keempat dari Port Dickson
ke Batu Pahat, menyaksikan kemunculan semula Donilo Hondo apabila
mengungguli saingan sejauh 169 kilometer itu.
Aksi suramnya pada tiga peringkat terdahulu
ditebus, semalam, sekali gus membuktikan dia masih bertenaga biarpun
Le Tour de Langkawi (LTdL) menjadi medan untuk dirinya membuat
kemunculan semula selepas kembali daripada pengantungan dua tahun.
Pelumba berusia 34 tahun itu tampil bersama
pasukan Serramenti PVC Diquigiovanni-Androni Giocattoli-Selle
Italia System mula melakukan pecutan seawal perlumbaan sehingga
tidak memberikan peluang kepada pelumba Asia membuat pemecahan.
Hondo, pemenang dua peringkat pada Giro
d’Italia 2001, bertindak nekad membuat pemecahan secara
solo kerana menyedari laluan landai memberi kelebihan buatnya.
“Kejayaan ini banyak dibantu rakan pasukan. Keadaan ketika
perlumbaan amat baik walaupun saya dicabar hebat Alberto Loddo
dari Tinkoff Credit System.
“Banyak cubaan untuk melakukan pemecahan,
saya pun cuba untuk meloloskan diri dua atau tiga kali tapi berjaya
dirapati semula,” katanya.
Hondo mula melepaskan diri daripada peloton
besar pada 200m terakhir mengekalkan rentak kayuhan bertenaga
hingga ke garisan penamat.
Dia menjalani pengantunggan selama dua tahun
kerana menggunakan dadah pada Vuelta a Murcia 2005 mengakui tidak
pernah berhenti berlatih dengan harapan untuk kembali ke perlumbaan
profesional.
Begitupun, Hondo masih belum mampu untuk
merampas jersi kuning (jersi pendahulu keseluruhan) Matthieu Sprick
dari BouyguesTelecom.
Sementara itu Anuar Manan dari LeTua Cycling
Team terus mengekalkan jersi hijau (raja pecut), manakala Shinishi
Fukushima sekali lagi menyarung jersi biru selaku pelumba terbaik
Asia.
<<
BACK
|