Serpa bukti kemampuan peringkat
ke-6
Utusan, 15/2/2008
ROMPIN – Raja Bukit Le Tour
de Langkawi (LTdL) edisi 2006 dan 2007, Jose Serpa berjaya membuktikan
dia mampu beraksi cemerlang pada laluan mendaki dan landai selepas
berjaya mengungguli peringkat ke-6 perlumbaan itu dari Bandar
Penawar, Johor ke Rompin, Pahang semalam lapor SHAMSIAH ZULKAFLI.
Namun, dia yang melakukan breakaway
dari kumpulan 15 pelumba pada saat-saat akhir sebelum garisan
penamat terpaksa bersaing dengan pakar pecut pasukan Credit Agricole,
Jeremy Hunt.
Pada peringkat ke-6 semalam, Serpa,
29, turut berjaya menewaskan 141 peserta lain dengan catatan masa
4 jam 26 minit 43 saat. Perlumbaan sejauh 182.80 kilometer itu
turut menyaksikan, Serpa meninggalkan dua pencabarnya, Alexandre
Usov dari AGR2 La Modiale, dan Johnnie Walker dari pasukan SouthAustralia.Com-AIS
yang masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga dengan catatan
masa yang sama iaitu 4 jam 26 minit 43 saat.
Serpa ketika ditemui berkata, dia
menyifatkan perlumbaan semalam sebagai sangat baik, walaupun terpaksa
bersaing hebat dengan pelumba-pelumba lain.
“Sebagai pelumba yang diramal
memenangi perlumbaan pada tahun ini, saya akui, ada sedikit tekanan
yang terpaksa dihadapi.
“Namun ia tidak melemahkan
semangat saya, lebih-lebih lagi, bila sampai di selekoh terakhir,
saya meninggalkan pelumba-pelumba lain agak jauh, di situ saya
tahu, kejuaraan peringkat ini memang milik saya,'' katanya.
Serpa yang menduduki tempat kedua
keseluruhan individu (jersi kuning) berkata, pada perlumbaan tahun
ini, beliau sekali lagi akan cuba merampas jersi kuning selepas
gagal tahun lalu.
Pada perlumbaan peringkat ke-6
semalam, barisan pelumba negara kurang menyerlah apabila hanya
Mohd. Hariff Salleh dari pasukan MNCF Cycling Team tampil memberikan
saingan.
Gelaran Raja Bukit pula menjadi
milik Chris Meschenmoser dari pasukan Team Ista, sekaligus membolehkannya
mengutip empat mata selepas menewaskan Walker dan Dennis Van Niekerk
dari pasukan kebangsaan Afrika Selatan bagi zon pecut pertama
di Jamaluang.
Jersi kuning pula masih menjadi
milik pelumba Perancis, Matthieu Sprick dari pasukan Bouyges Telecom
bagi hari keenam berturut-turut selepas berjaya mencatat kayuhan
23 jam 43 minit dan 16 saat.
Bagaimanapun, Sprick belum boleh
merasa selamat dengan kedudukannya buat masa ini berikutan dua
pencabar terdekat yang hanya berada beberapa saat di belakangnya
iaitu pelumba pasukan Drapac Porsche, Mitchell Docker dan Gustavo
Cesar dari Karpin Galicia.
Perlumbaan peringkat ke-7 akan
diteruskan dari Kuala Rompin ke Kuantan yang meliputi laluan landai
sejauh 126.6km hari ini.
<<
BACK
|