8 pelumba kemalangan, Usov
lolos diri
Utusan, 16/2/2008
KUANTAN – Perlumbaan Le Tour
de Langkawi (LTdL) 2008 yang memasuki peringkat ketujuh semalam
diwarnai dengan insiden kemalangan yang melibatkan lapan pelumba
pada lima meter terakhir ke garisan penamat.
Insiden itu berlaku apabila pelumba CSF
Group Navigare, Mauro Abel Richeze dan Alberto Loddo (Tinkoff
Credit Systems) saling mengasak dan menyiku antara satu sama lain
pada 50 meter terakhir.
Akhirnya Loddo terjatuh lima meter sebelum
melintasi garisan penamat, malah membabitkan enam pelumba lain
termasuk dua pelumba pasukan kebangsaan.
Namun, Mohd Zamri Salleh dan Mohd. Rauf
Nur Misbah hanya mengalami kecederaan ringan dan mampu meneruskan
dua lagi baki peringkat perlumbaan hari ini dan esok.
Insiden kemalangan itu bagaimanapun memberi
ruang kepada pelumba AG2R La Mondiale, Alexandre Usov untuk meloloskan
diri daripada sebelah kanan bagi melintasi garisan penamat dengan
masa 2 jam 52 minit 56 saat.
Richeze yang menamatkan peringkat ini di
tempat kedua menerima padah apabila pegawai perlumbaan memutuskan
beliau menduduki tempat terakhir hari ini walaupun menamatkan
di tempat kedua pada awalnya.
Perlumbaan semalam juga menyaksikan pelumba
Drapac Porsche Mitchell Docker, merampas jersi kuning daripada
Matthieu Sprick (Bouygues Telecom).
“Rasa amat gembira dapat memenangi
jersi kuning kerana pada dua peringkat sebelum ini saya telah
mencuba sedaya upaya untuk merampasnya daripada Sprick,”
kata Docker kepada pemberita.
Dia berkata, hari ini merupakan hari terakhir
untuk memenangi jersi kuning sebelum peringkat pendakian di Bukit
Fraser esok yang pastinya sukar kepadanya sebagai pelumba pecut.
Kedudukan Docker yang mengumpul 26’36:10s
bagaimanapun belum selamat kerana dia hanya mendahului Sprick
dengan hanya dua saat.
Bouygues Telecom bagaimanapun masih mengekalkan
jersi pecut yang dimiliki oleh Aurlien Clerc dengan 77 mata meninggalkan
pelumba LeTua, Anuar Manan ditempat kedua dengan 21 mata.
Jersi biru juga masih kekal milik pelumba
Seoul Cycling, Park Sung Baek setelah mengumpul masa 26’36:19s,
kelebihan satu saat daripada pelumba Meitan-Hampo- GDR, Shinichi
Fukushima.
Peringkat kelapan hari ini sejauh 127 kilometer
bakal menyaksikan penguasaan pakar pendakian untuk menentukan
pemenang jersi merah polka dot kerana membabitkan pendakian ke
Bukit Fraser.
<<
BACK
|