Serramenti PVC, Ivanov ungguli
LTDL 2008
Utusan, 18/2/2008
KUALA LUMPUR – Serramenti
PVC mengungguli Kejohanan Berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL)
2008 apabila muncul pasukan terbaik manakala pelumbanya Ruslan
Ivanov menyarung jersi kuning selaku juara individu keseluruhan.
Pada edisi lepas pasukan dari Venezuala
yang dikenali sebagai Selle Italia Serramenti Diquigiovanni itu
hanya mampu berada di tempat ketujuh keseluruhan manakala pelumba
terbaiknya Jose Serpa Perez sekadar tempat kedua keseluruhan.
Pasukan profesional benua itu yang berpengkalan
di Itali mencatatkan masa keseluruhan 94 jam 20 minit dan 36 saat
(94’20:36s) pada sembilan hari saingan untuk menjadi pasukan
terbaik manakala Ivanov melakukan 31’20:28s untuk menjadi
pelumba terbaik pada kejohanan tahun ini.
“Sukar untuk menggambarkan perasaan
saya kerana memenanginya tetapi semuanya kerana sokongan baik
daripada pelumba-pelumba dan anggota-anggota lain dalam pasukan,”
kata Ivanov kepada pemberita pada sidang akhbar selepas perlumbaan,
semalam.
Ivanov berkata, beliau sangat berterima
kasih kepada mereka kerana memberi peluang kepadanya untuk kembali
beraksi dalam pasukan yang handal selepas dua tahun tanpa sebarang
kontrak, dan membina kembali keyakinannya.
Pada perlumbaan peringkat kesembilan, semalam
perlumbaan Kriterium Kuala Lumpur sejauh 73.7 km, pelumba CSF
Grup Navigere, Mauro Abel Richeze muncul pemenang pada perlumbaan
di sekitar bandaraya ini melibatkan 11 pusingan dengan masa 1’31:22s.
Kemenangan ini menebus kekecewaan pelumba
itu yang sebelum ini dikatakan menjadi punca kemalangan di peringkat
ketujuh dari Kuala Rompin ke Kuantan sehinggakan Alberto Loddo
gagal meneruskan perlumbaan kerana kecederaan.
Sementara itu, pelumba Bouygues Telecom
Aurlien Clerc mengekalkan jersi hijau (Raja Pecut) dengan 90 mata
sekaligus mengecewakan harapan pelumba LeTua Anuar Manan di tempat
ke dua dengan 62 mata.
Pelumba terbaik Asia (jersi biru) pula milik
Shinichi Fukushima dari pasukan Meitan-Hampo-GDR dengan masa terkumpul
31’22:18s sekaligus membaiki pencapaiannya di tempat ketujuh
tahun lepas.
Bagaimanapun, pasukan Meitan-Hampo- GDR
gagal muncul juara kategori pasukan Asia apabila tewas kepada
pasukan Seoul Cycling yang mencatatkan masa keseluruhan 94’49:05s,
perbezaan 2:54s.
Pasukan Malaysia pula di tempat ketiga manakala
dua lagi wakil negara iaitu LeTua dan pasukan Persekutuan Kebangsaan
Berbasikal Malaysia (PKBM) masing-masing di tempat keenam dan
kesembilan pasukan Asia. Ng Yong Li yang mewakili pasukan Meitan-Hampo-GDR
muncul sebagai pelumba terbaik negara di tempat ke-36 secara keseluruhan.
<<
BACK
|