'Penganjur perlu buktikan
kemampuan'
Berita Harian, 18/12/2007
PENGANJUR Le Tour de Langkawi (LTdL)
2008 diberi peringatan supaya memastikan penganjuran perlumbaan
berbasikal berprestij negara yang memasuki edisi ke-13 pada 9
hingga 17 Februari depan, mampu memberi manfaat kepada sukan berkenaan.
Teguran itu dibuat Menteri Belia
dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman yang berkata, kementeriannya
tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya
penganjuran perlumbaan gagal mencapai objektif utamanya.
Azalina berkata, LTdL 2008 akan
menjadi kayu pengukur sama ada jelajah berstatus Hors 2.0 dalam
kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu berjaya mencapai
matlamat atau sebaliknya.
"Mereka harus buktikan LTdL
kali ini akan memberi manfaat kepada sukan itu kerana tujuan utama
LTdL ialah untuk memperkembangkan sukan berbasikal dan industri
pelancongan negara ini.
"Untuk dua tahun sebelum ini,
penganjuran LTdL dipersoalkan rakyat dan kerana itu ia menjadi
cabaran kepada penganjur untuk mengimbanginya antara sukan dan
pelancongan.
"Ini adalah tahun kedua Persekutuan
Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) memainkan peranan utama
dalam penganjuran LTdL, dan kini sudah kelihatan peningkatan pelumba
negara tetapi mereka harus buktikan ia memberi faedah, jika tidak
kami (kerajaan) akan mengambil tindakan yang mungkin tidak akan
digemari sesetengah pihak," kata Azalina ketika sidang media
pengumuman laluan LTdL 2008 di Putrajaya, semalam.
September lalu, Azalina mengumumkan
penubuhan satu jawatankuasa penganjuran yang diketuai Pengerusi
Panel Penasihat Sukan (SAP), Datuk Nik Mahmud Nik Yusoff dan Timbalan
Presiden MNCF, Datuk Naim Muhammad sebagai Ketua Pegawai Operasi
bagi melicinkan penganjuran perlumbaan itu.
Perlumbaan sembilan peringkat tahun
depan yang dijangka tidak akan menelan belanja lebih RM25 juta,
membabitkan 25 pasukan termasuk lima pasukan profesional ProTour,
membabitkan jarak sejauh 1,381.5 kilometer.
Berbeza dengan edisi sebelum ini,
peringkat LTdL 2008 akan bermula di Alor Setar ke Kulim pada 9
Februari diikuti Peringkat 2 dari Tapah ke Genting Highlands.
Seterusnya saingan akan membawa
pelumba dari Lanchang-Cukai; Kuantan-Kuala Rompin; Rompin-Bandar
Penawar; Bandar Penawar-Johor Bahru; Johor Bahru-Batu Pahat; Melaka-Seremban
dan Peringkat 9 dari Seremban ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
<<
BACK TO NEWS MAIN
|