Peringkat pendakian diubah
Kosmo! Online,
22/1/2008
NAIM (dua dari kanan) bersalaman
dengan Penolong Naib Presiden Jabatan Korporat Genting Berhad,
Kay Prakash selepas majlis penajaan semalam.
PERINGKAT pendakian Kejohanan Lumba
Basikal berstatus Hors, Le Tour de Langkawi 2008 (LTdL08) terpaksa
diubah atas alasan keselamatan dan kesesakan.
Demikian jelas Ketua Pegawai Operasi
(CEO) LTdL 2008, Datuk Naim Mohamad semalam.
Jadual asal bagi peringkat pendakian
perlumbaan itu telah ditetapkan menuju ke puncak Genting Highlands
tetapi terpaksa diubah ke laluan baru iaitu dari Temerloh ke Bukit
Fraser.
LTdL08 akan bermula pada 9 hingga
17 Februari.
Menurut Naim selepas membuat pertimbangan
daripada maklum balas pelbagai pihak, pendakian dari Maran ke
Genting Highlands terpaksa diubah dari Temerloh ke Bukit Fraser.
“Beberapa perkara telah diteliti
kerana perlumbaan ini akan berlangsung semasa perayaan Tahun Baru
Cina dan kesesakan bakal berlaku di laluan Genting Highlands.
Jadi kami kami telah bersetuju untuk menukar laluan pendakian.
“Pelumba akan mendaki puncak
Bukit Fraser pada hari kelapan dan perubahan ini juga dilakukan
demi keselamatan para pelumba,” ujarnya pada majlis penyerahan
tajaan dari Genting Berhad di Kuala Lumpur semalam.
Menurutnya, pada ketika itu, laluan
ke Genting Highlands pasti sesak kerana perayaan Tahun Baru
Cina.
“Musim tersebut merupakan
musim paling sibuk di laluan Genting Highlands kerana ramai pengunjung
akan pergi ke sana untuk bercuti.
“Kami juga sudah dimaklumkan
mengenai perkara tersebut dan atas rasa berat hati kami terpaksa
mengubah laluan pendakian pada perlumbaan tahun ini,” kata
Naim.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk
Seri Azalina Othman Said sudah dimaklumkan mengenai perubahan
ini dan dia bersetuju.
Selain itu, Naim yang juga Timbalan
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengakui
pertukaran laluan ini lebih banyak memberi kebaikan kepada pelumba
negara.
“Ia merupakan satu peluang
besar bagi pelumba negara menunjukkan bakat kerana pendakian ini
lebih mencabar,” ujarnya.
Pada perlumbaan kali ini, sebanyak
25 pasukan akan mengambil bahagian membabitkan sembilan peringkat
sejauh 1377.4 kilometer.
Perlumbaan akan bermula di Alor
Star, Kedah pada 9 Februari dan berakhir dengan acara kriterium
di Kuala Lumpur pada 17 Februari.
Enam negeri terlibat dengan LTdL
tahun ini iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Johor
Baharu, dan Pahang.
<<
BACK
|